IMPIAN KASIH

Selasa, Juni 08, 2010

IMPIAN KASIH
Cinta tumbuh subur dalam diri. Warna-warna bahagia menjadi baja dalam taman nubari, menggembur dan meranum denai taqwa sebati dengan cinta. Berakarlah segala sifat mahmudah hingga tercantas haloba duniawi yang selama ini membusung di hati. Cinta yang jernih itu hanya kenal kebaikan. Tidak ada kewalahan pada detik waktu yang kosong. Semuanya terisi. Semuanya menjadi sesuatu yang berharga bersama Kekasih.
Hidup yang ranjau ini kadang menjadi medan yang panjang pada diriku walaupun umur baru di takah remaja. Caturan fitrah Tuhan amat cantik buatku kerana mengurniakan sifat hawa yang sensitif pada kehidupan. Lantaran seni itulah aku sering merasakan aku ini seorang-seorang di dunia ini. Dengan hatiku, aku mengenal diriku sendiri yang mempunyai ayah yang penyayang, ummi yang taat serta dua adik pelengkap tawa dan tangis jiwaku. Semuanya kurnia Tuhan yang tidak ternilai tambahan mutiara paling agung dalam diri ialah iman dan Islam yang aku yakini hanya itulah kenderaan yang membawa aku dan keluarga ke pelabuhan akhirat dengan selamat.
Aku ini sangat sederhana dalam serba-serbi tindakan. Dan kesederhanaanku malahnya bukan menghampiri kepada kesempurnaan tetapi kepada sikap gopoh-gapah yang mengundang rasa gundah dan berang pada diri sendiri. Dengan sikap itu jugalah aku ini menjadi seorang yang merendahkan diri walau ke lorong mana aku jelajahi. Sikap rendah diri menjadi sebati dengan diriku. Dan aku berjalan dengan mengendong sikap itulah ke mana-mana. Mujurlah aku dinamai dengan Nur Mustika yang bermaksud cahaya mustika. Cahaya itulah sedikit sebanyak menyuluhi langkah gontaiku menjadi muslimah yang pasang-surut rentak semangatnya.
Sering aku tercicir banyak perkara ketika berkayuh dengan masa untuk sampai ke destinasi usiaku yang sentiasa bergerak ke hadapan. Usia bayiku yang sudah ditinggal jauh, dan tidak sekali akal lemahku dapat merakam semula detik-detik di dalam perut ummi, dan bagaimana aku dan ummi sama-sama bergelut dengan nyawa masing-masing menyelamatkan diri ketika ummi mahu melahirkan aku dan aku juga gopoh untuk keluar dari perut ummi. Entah bagaimana rupanya aku menangis setiap malam kerana mahukan susu ummi juga saban kencing dan berakku dibasuh oleh ummi dan abahku. Dan rentakku bermula apabila sudah pandai bercakap, bertatih seterusnya berjalan dan berlari girang menjadi kanak-kanak keletah. Rentak sudah makin berseni apabila aku mula didedahkan dengan alam persekolahan dan belajar menjadi manusia. Abah dan ummi memang tepat membuat keputusan kerana mengenalkan aku pada agama sedari kecil. Maka, rentakku terarah tidak terpesong apabila Allah menjadi Tuhanku setiap masa dan Rasulullah s.a.w adalah nabiku yang menjadi petunjukku pada setiap perkara. Lalu, berjalanlah aku dengan rentak seorang Muslim dengan aqidah tauhid dan ikatan syariat yang menjadi perisai. Namun, kerana aku ini Muslim yang biasa dan sifat lemahku sebagai manusia, maka aku tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
Ketika ini, aku masih meneruskan rentak perjalananku yang semakin bertambah bunga seninya. Takah usiaku mula beralih daripada zaman pra remaja kepada zaman remaja sepenuhnya. Ketika inilah yang menguasai diriku bergumpal-gumpal perasaan yang bersilih-ganti mencorak emosiku sendiri. Semuanya berbaur impian. Aku ingin menggapai bintang, bulan, matahari dan semua sumber cahaya yang lain agar ia menerangi diriku dan aku mampu pula menerangi manusia lain. Aku ingin meneroka seluruh alam, berjalan dan menafsir tentang ciptaanNya agar aku semakin yakin dengan kuasa Tuhan yang memberi dan menarik semula nikmat-nikmatNya jika aku tidak bersyukur. Aku bersemangat untuk berusaha dengan keazamanku menjadi seorang hartawan di masa depan dan dengan bekal hartaku itu dapatlah aku membantu manusia lain hidup gemilang dalam agama. Dan paling aku cita-citakan ialah membina keluarga bahagia melalui proses perkahwinan yang berkat. Aku mahu seorang lelaki dalam hidupku. Dialah paling dekat denganku. Menjadi suami, menjadi sahabat, menjadi teman dalam setiap pekerjaanku, menjadi ayah pada zuriatku dan dia juga yang membimbingku meniti dua perjalanan yang berbeza di dunia dan di akhirat. Dan akhirnya kerana kami saling membantu di atas batas taqwa, maka berjayalah aku, suamiku dan anak-anakku berkumpul di taman syurga yang abadi.
Semua itu menjadi sarat yang terpundak di kantung fikiranku walaupun jalan usahanya masih perlahan. Kemungkinan bias rasa rendah diri, aku menjadi seorang yang jatuh bangun pada tindakanku. Kemungkinan yang lain ialah aku telah tersungkur di tengah perjalanan menggapai segala impian ini.
Suaraku mula kedengaran semula setelah aku menelan ubat ujian yang amat pahit. Aku ini yang kaya cita dan angan-angan, yang sedari kecil selalu berfikir yang manis, bahagia, gembira, berhibur dan tenang selamanya baharu tersedar bahawa hidup ini bukanlah semudah memandang cahaya matahari dan bulan, malah bukan seperti mata yang berkerdip di waktu jaga. Hidup ini mengalami waktu senang dan sukar. Waktu bangun dan jatuh dan waktu cerah dan kelam. Hidup ini perlu sentiasa bersedia menjadi senang atau susah. Mudahnya pada diriku ialah hidup ini perlu ada senjata yang membekali perjalanan untuk bersuka dan berduka.
Maka dengan jiwaku yang metah ini, Tuhan telah memberi ganjar ujian yang setimpal dengan lembut jiwa dan halus hatiku. Tuhan tidak menimpakan kepadaku ujian yang berat-berat seperti yang ditimpaNya kepada umat yang terdahulu. Tuhan juga tidak menjatuhkan bala seperti saudara-saudaraku di Negara-negara Islam yang lain, peperangan, kebuluran, kematian dan lain-lain. Tuhan hanya menarik nikmat perkasihan dari ladang hatiku. Tuhan hanya menyuntik angin musibah agar aku kembali bermuhasabah. Tuhan hanya melencong impian dan angan manusiawi dalam diriku. Semua ujian Tuhan hanya dilandas pada hati, jiwa dan perasaan tetapi akal dan fizikalku masih sejahtera sihatnya.
Semuanya telah kucantumkan dalam nekad untuk bangkit dari lompong-lompong ujian yang sebenarnya berpunca dari tindakanku sendiri. Aku terlalu gembira sebelum ini dengan segala angan dan impian, mujurlah masih ada peluang untukku sejenak merenung seni menjadi manusia hamba dan khalifah.
Ayuhlah! Nur Mustika tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Segala yang terbentang ini harus diterkam dengan jujur hati. Di hadapan, peluang masih luas. Dan masa pun terlalu pantas berputar tetapi waktu untuk berubah masih ada. Rawatlah jiwa rawan dengan ubat iman. Selalu-selalu membuat pemeriksaan pada diri. Selalu-selalu bergantung pada Tuhan.
Dan kisah ini hanya satu episod dalam takah hidup selepas bergelar manusia sedar. Proses antara dua peranan menjadi remaja kepada dewasa. Proses untuk bergelar seorang hamba yang sebenarnya dan proses membina semula impian dalam taman perkasihan. Boleh diandaikan menjadi pedoman kepada hidup manusia lain dan nostalgia kepadaku yang akan terus melangkah ini. Kisah yang secubit ini bergeraklah untuk mencari semula baja dan benih pohon perkasihan. Impian kasih!

0 komentar: